PESAWAT ringan yang terhempas. FOTO ihsan pembaca
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


PESAWAT ringan jenis Gyrocopter yang digunakan untuk meracun sawah padi terhempas di kawasan FELCRA Berhad Jejawi, Kampung Gajah, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.25 pagi itu, juruterbang pesawat berkenaan berusia 29 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada 11.15 pagi memaklumkan terdapat pesawat ringan membawa muatan racun serangga terhempas.

“Pesawat berkenaan melakukan penugasan operasi penyemburan racun serangga di sawah padi peringkat 8 dan 9 FELCRA Seberang Perak.

“Punca sebenar kejadian tidak dapat dipastikan lagi, namun dipercayai disebabkan masalah teknikal,” katanya ketika dihubungi, Kampung Gajah, hari ini.

Barudin berkata, kejadian itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dan lokasi kejadian juga dikawal oleh anggota Balai Polis Jejawi.

“Kejadian ini juga sudah dimaklumkan kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 1:29 PM