MANGSA duduk di atas bumbung pacuan empat roda berkenaan. FOTO Ihsan Mohd Fadhir Hazmi.
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


“KAMI terpaksa keluar melalui tingkap pacuan empat roda untuk selamatkan diri berikutan air naik mendadak,” kata pengurus ladang tanam semula balak, Mohd Fadhir Hazmi, 39.

Dia terselamat selepas pacuan roda empat roda dinaiki bersama lima individu lagi terperangkap di tengah sungai di Kampung Pasir Jering, Chenulang di Kuala Krai, semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, enam individu itu menyelamatkan diri dengan duduk di atas bumbung kenderaan.

Mereka kemudian berenang menggunakan pelampung ke tebing berhampiran sebelum diselamatkan bomba.

Mohd Fadhir berkata, sebelum kejadian, dia bersama seorang lagi rakannya, Samsuri Mohamad, 43, masuk ke kawasan ladang itu pada 9 pagi untuk membayar gaji pekerja.

Katanya, sebaik selesai semua urusan, dia bersama rakan dan seorang pekerja ladang warga Indonesia berusia 32 tahun mula keluar dari kawasan ladang itu, pada 3 petang.

“Ketika dalam perjalanan pulang, Toyota Hilux kami dinaiki terkandas akibat tanah runtuh sebelum saya mendapatkan bantuan rakan dikenali Tokdo untuk menarik keluar kenderaan yang tersangkut. Tokdo datang bersama dua rakannya dengan Mitsubishi Pajero.

“Bagaimanapun, pacuan empat roda Tokdo gagal menarik kenderaan saya dan kami ambil keputusan keluar dari kawasan ladang dengan pacuan empat rodanya dan pada ketika itu hujan lebat.

“Ketika dalam perjalanan keluar kami merentas sebuah anak sungai yang ketika itu air berada pada paras tayar kenderaan sahaja. Bagaimanapun, apabila berada di tengah, secara tiba-tiba air naik mendadak sehingga empat meter.

“Kami cuba berpatah balik namun gagal dan tidak boleh keluar melalui pintu kerana air naik dengan cepat. Kami terpaksa keluar daripada tingkap kenderaan dan duduk di atas bumbung untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, Tokdo kemudian berenang ke tebing untuk mengambil pelampung di rumah penduduk berhampiran berikutan arus deras.

“Kami terpaksa berenang bergilir-gilir hampir sejam menggunakan pelampung untuk ke tebing sungai sejauh 150 meter. Saya kemudian hubungi rakan untuk mendapatkan bantuan bomba dan berjaya dibawa keluar daripada kawasan terbabit dengan bot bomba.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pasukan bomba dan rakan pacuan empat roda yang bertungkus-lumus menyelamatkan kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Durian, Jafar Jafari Mustafa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 10.17 malam sebelum pihaknya bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba, kita menggunakan bot penyelamat menyusuri dua anak sungai untuk menyelamatkan mangsa.

“Dengan bantuan orang awam, pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa dari lokasi kejadian. Operasi tamat sepenuhnya jam 12.53 tengah malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 1:06 PM