BOMBA membantu mengeluarkan mata kail pada kaki kucing itu. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


BOMBA di Kuala Kangsar berjaya mengeluarkan mata kail yang tersangkut pada kaki seekor kucing jantan selepas usaha pemiliknya untuk mengeluarkan mata kail berkenaan gagal.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak berkata, pemilik kucing berkenaan hadir ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar jam 8.31 pagi, hari ini, untuk meminta bantuan mengeluarkan mata kail berkenaan.

“Pemilik yang juga seorang wanita sebelum ini cuba mengeluarkan sendiri mata kail berkenaan, namun gagal sebelum datang ke BBP Kuala Kangsar untuk meminta bantuan.

“Anggota kemudiannya melihat keadaan kucing berkenaan dan mendapati mata kail berkenaan tersangkut pada kakinya,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Menurutnya, anggota kemudiannya menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mata kail itu menggunakan peralatan khas.

Katanya, mata kail berkenaan kemudiannya berjaya dikeluarkan dan kucing berkenaan berada dalam keadaan selamat sebelum operasi ditamatkan 10 minit selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 9:44 AM