MANGSA terjejas di PPS Selagon. FOTO Ihsan APM
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


MANGSA banjir di Membakut terus meningkat kepada 90 orang, hari ini, berbanding 46 orang semalam.

Semua mangsa membabitkan 31 keluarga dari beberapa kampung dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Selagon, sejak malam tadi.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, antara kawasan terjejas adalah Kampung Bambangan, Kampung Sinoko, Kampung Sindok, Kampung Baitam Ulu dan Kampung Baitam Laut, Kampung Lumantak serta Kampung Kayai.

“Proses memindahkan mangsa banjir perlahan kerana petugas penyelamat terpaksa memujuk mangsa supaya berpindah.

“Mangsa keberatan untuk berpindah ke dewan yang disediakan kerana terletak jauh dari lokasi banjir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya lagi, usaha memindahkan mangsa banjir itu dibantu oleh pelbagai agensi.

“Sebanyak tujuh agensi terbabit termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM),

“Selain itu, turut dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kesihatan dan Majlis Daerah Beaufort serta sukarelawan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 8:22 AM