LILITAN Kepala Alzheimer ciptaan MIMOS.
DigitalHM
hm@metro.com.my


PUSAT penyelidikan dan pembangunan gunaan negara, MIMOS menghasilkan alat pengimejan otak dikenali Lilitan Kepala Alzheimer sebagai alternatif untuk pengimejan resonans magnet (MRI).

Ia sesuai untuk pesakit Alzheimer dan orang dewasa yang mengalami Ketidakmampuan Kognitif Rendah (MCI).

Penyelidik Kanan MIMOS, Zalhan Md Yusof berkata, Lilitan Kepala Alzheimer berpotensi digunakan sebagai alternatif kepada MRI untuk pemeriksaan awal MCI.

Katanya, peranti ringan yang direka bentuk dengan empat pemegang kuar optik boleh dipakai di dahi pesakit untuk memantau pengoksigenan darah yang berkaitan dengan fungsi otak.

“Bagi sesetengah pesakit terutama mereka yang mempunyai masalah klaustrofobia akan berasa tidak selesa dengan teknik pengimejan konvensional kerana perlu baring dalam kolong mesin MRI dan terpaksa berdepan bunyi yang kuat.

“Justeru, alat baharu ini menawarkan banyak kelebihan yang pastinya selamat, tidak invasif, tidak membelenggu secara fizikal dan fleksibel serta membolehkan lebih banyak pergerakan.

“Selain itu, ia adalah kaedah yang tidak mengion (non-ionised) iaitu boleh digunakan berulang kali, mudah alih dan harganya berpatutan.

“Ia juga boleh menjadi pengganti MRI kerana sifatnya yang fleksibel dan senyap menjadikannya ideal untuk digunakan pada orang dewasa, kanak-kanak dan bayi,” katanya.

Menurut Zalhan, makmal teknologi fotonik MIMOS adalah makmal pertama yang mempromosikan Teknologi Spektroskopi Hampir Infra Merah Fungsian (fNIRS) untuk kajian kognitif dan pengoksigenan tisu di Malaysia sejak 2014.

Katanya, MIMOS bekerjasama dengan Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam mempromosi aplikasi fNIRS bagi kajian saraf melalui Kongres Radiologi Malaysia, Akademi Perubatan Malaysia.

“MIMOS juga menjalankan kajian klinikal awal membabitkan warga emas dari Rumah Seri Kenangan di Cheras di mana penyelidik mengumpul data dengan kelulusan etika yang diperoleh daripada Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Puncak Alam, Fakulti Perubatan UiTM Sungai Buloh dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Pembangunan Lilitan Kepala Alzheimer membolehkan makmal itu menghasilkan analisis hemodinamik untuk pesakit Alzheimer yang kemudian memperkenalkan pendekatan kuantitatif sistematik.

“Analisis piawaian emas untuk Alzheimer ketika ini masih menggunakan kaedah soal selidik iaitu satu pendekatan kualitatif, tetapi dengan menggunakan peralatan fNIRS, ia terus dapat mengukur tahap Alzheimer seseorang bagi mengklasifikasikan kelas atau kategori demensia.

“Pendekatan kuantitatif lebih tepat berbanding kaedah kualitatif kerana ia boleh mengukur tahap Alzheimer dan demensia yang lain,” katanya.

Berdasarkan spektroskopi fNIR yang dipakai, Zalhan berkata pasukannya mampu membangunkan proses analisis yang lebih baik daripada data mentah kepada imej tomografi otak.

“Peralatan ujian di makmal teknologi fotonik MIMOS juga meliputi kajian pengoksigenan tisu yang lain seperti analisis otot

“MIMOS mempunyai potensi untuk menjadi institut pemetaan otak untuk NIR. Pada masa ini, kami memberi akses kepada institusi penyelidikan lain dan universiti untuk menjalankan kajian dalam bidang berkaitan.

“Sifat teknologi yang digunakan dalam pengoksigenan tisu membolehkan kemudahan ini mampu melakukan analisis otot untuk atlet dan ahli fisioterapi serta boleh melakukan ujian ketahanan,” katanya.

Selain Lilitan Kepala Alzheimer, pasukan penyelidik MIMOS turut membangunkan peranti Bluetooth tanpa wayar dipanggil FloBo yang boleh mengukur suhu badan, kadar nadi dan paras oksigen serentak, menggunakan teknologi yang sama.

Mereka turut giat membangunkan peranti pemantau glukosa darah tanpa jarum yang dipanggil GlucoSenz, yang dijangka akan berada di pasaran menjelang 2020.

MIMOS juga menandatangani memorandum perjanjian (MOA) dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk penggunaan fotonik dalam aplikasi pergigian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 7:30 AM