PENUMPANG feri di Kuala Kedah memulangkan tiket disebabkan terkandas akibat ombak setinggi tiga meter menyebabkan perjalanan mereka ke Langkawi terkandas.
Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


SERAMAI 776 penumpang feri dari Kuala Kedah ke Langkawi terkandas di Terminal Feri Kuala Kedah berikutan ombak kuat setinggi tiga meter, semalam.

Pengurus Sumber Manusia & Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, jumlah itu membabitkan dua jadual perjalanan pada jam 11.30 pagi dan 1 tengah hari.

Sebelum itu, 418 penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi pada jam 11.30 pagi terpaksa berpatah balik disebabkan keadaan laut bergelora.

“Bagaimanapun, feri yang membawa 178 penumpang dari Langkawi ke Kuala Kedah terpaksa dilencongkan ke Terminal Feri Kuala Perlis disebabkan faktor keselamatan.

“Disebabkan itu, kami menyediakan empat feri tambahan di Kuala Perlis untuk memudahkan penumpang di Kuala Kedah meneruskan perjalanan ke Langkawi hari ini (semalam),” katanya ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun, perjalanan dari Kuala Perlis ke Langkawi tidak mempunyai masalah.

Beliau berkata, penumpang yang hendak memulangkan tiket boleh berbuat demikian di kaunter Kuala Kedah atau menukar tiket untuk perjalanan ke Kuala Perlis.

“Kami memohon maaf atas sebarang masalah kerana memikirkan keselamatan penumpang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 7:00 AM