FOTO HIASAN
Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


“MAK hampir bayar RM40,000 kepada individu yang mendakwa kononnya mempunyai rawatan bagi menyembuhkan kanser.

“Nasib baik mak beritahu saya mengenainya dan saya minta tangguhkan bayaran dan rawatan,” kata guru, Izyan Karim.

Menurutnya, sejak disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat, ibunya sering mendapatkan maklumat berkaitan rawatan kanser melalui Internet.

Izyan berkata, ibunya berkenalan dengan seorang individu dan membuat temu janji sebelum menjalani rawatan.

Bagaimanapun, katanya, ibu diminta membuat ujian darah terlebih dulu namun ketika temu janji, individu itu memaklumkan keputusan ujian darah tidak lengkap.

“Malah, dia memaklumkan kanser ibu sudah merebak ke tulang dan bacaan darah tidak cantik. Sedangkan keputusan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) di hospital sebelum itu menunjukkan ada perubahan pada sel kanser.

“Individu terbabit kemudian mencadangkan ibu menjalani rawatannya selama 19 hari dengan harga RM40,000.

“Bukan itu saja, ibu juga diminta berhenti mengambil pil kemoterapi sepanjang tempoh itu kerana mendakwa ubat yang dimakan hanya untuk bertahan, bukan menyembuhkan,” katanya.

Izyan berkata, sebelum meneruskan rawatan, indivitu terbabit turut meminta ibu membuat ujian darah di makmal yang disyorkan.

Katanya, sebaik mengetahui ibu berhubung dengan individu itu, dia berasa tidak sedap hati sebelum meminta ibu tidak menjalani rawatan itu.

“Saya memang tidak bersetuju ibu berhenti mengambil pil kemoterapi kerana perbuatan itu bagi saya mengarut.

“Jadi, saya cari maklumat mengenai lelaki berkenaan dan menghubungi pelbagai pihak untuk mendapatkan pengesahan sehingga berhubung dengan Pengerusi Cancer Survivor Malaysia Zuraini Kamal yang memaklumkan bahawa lelaki itu tidak boleh dipercayai,” katanya.

Menurutnya, tindakan individu berkenaan mengambil kesempatan di atas kesukaran orang lain amat dikesali.

“Dia sanggup mempermainkan nyawa orang lain. Saya geram dan amat marah dengan tindakannya yang dianggap keterlaluan.

“Diharap pihak berkenaan boleh mengambil tindakan terhadap lelaki ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 6:00 AM