Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
Idris Musa
idris@hmetro.com.my

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap usaha untuk meningkatkan kefahaman berkaitan ajaran Islam yang sebenar terus dilipat ganda dan digiatkan dengan pendekatan yang sesuai.

Menurutnya, ia penting bagi membuktikan bahawa rakyat dapat menjalani kehidupan sejahtera dinaungi oleh agama Islam yang membawa rahmat kepada semua.

“Kita sebut agama Islam yang sebenar kerana terdapat banyak tafsiran dan ajaran Islam yang disalah tafsir dipengaruhi oleh kepentingan lain.

“Inilah yang menyebabkan umat Islam berpecah dan berpuak-puak,” katanya menerusi ucapan Salam Maulidur Rasul 1441H di akaun Twitter beliau, malam tadi.

Perdana Menteri berkata, umat Islam wajar menghargai kemajmukan, melestarikan kehidupan dalam kedamaian serta memelihara hubungan antara kaum dan agama.

“Ciri-ciri ini boleh dicapai dengan menitikberatkan ajaran Islam dalam kehidupan yang berlandaskan al-Quran dan hadis yang sahih.

“Jadikanlah Rasulullah SAW sebagai ikutan sepanjang hayat agar kita semua memperoleh kebahagiaan di dunia dan akhirat,” katanya.

Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan tahun ini dengan tema ‘Negara Rahmah, Ummah Sejahtera’ akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil bermula 7 pagi hari ini.

Kira-kira 8,000 peserta terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta, badan berkanun, badan beruniform, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penuntut institusi pengajian tinggi dan pelajar sekolah akan menyertai perarakan sambutan.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijangka berangkat menyempurnakan majlis itu yang dijadual turut dihadiri Perdana Menteri dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 1:04 AM