Azrul Faizal (kanan) memberi taklimat kepada pasukan SAR mangsa lemas di Pusat Operasi Sementara JBPM Pantai Bagan Lalang dekat Sepang malam tadi. Foto Ihsan JBPM
Samadi Ahmad
am@hmetro.com.my


NELAYAN dikhuatiri lemas selepas hilang ketika keluar menangkap ikan berhampiran rumah api lama di Bagan Lalang dekat Sepang petang semalam.

Dol Naik, 50-an, Orang Asli berasal dari Kampung Orang Asli Bukit Bangkong itu dilaporkan keluar menangkap ikan menggunakan kaedah merawai dengan bot gentian kaca.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sepang Azrul Faizal Maariff berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kehilangan nelayan itu daripada polis pada 8.15 malam dan tiba di lokasi mangsa dipercayai hilang itu pada 8.40 malam.

Menurutnya, bot mangsa dijumpai pemancing kira-kira dua kilometer dari pantai Bagan Lalang pada 6.45 petang sebelum memaklumkannya kepada penduduk kampung.

“Berdasarkan maklumat, mangsa dilaporkan ke laut pada 11 pagi,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan disambung pada 8 pagi hari ini.

“Esok (hari ini) pencarian ditumpukan di tengah laut kerana ketika kejadian air laut mulai surut dan berkemungkinan mangsa dibawa arus ke tengah.

“Sehingga malam ini (tadi), seramai 10 anggota bomba ditugaskan di tempat kejadian dengan dibantu polis, Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) Selangor dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

Sementara itu, anak tiri mangsa, Mohd Amran Abdullah, 45, berkata, kebiasaannya mangsa ke laut sendirian pada sebelah pagi dan pulang sebelum 7 malam.

Menurutnya, kejadian itu dimaklumkan oleh nelayan tempatan apabila sekumpulan pemancing yang ke laut melihat sebuah bot kosong berpusing-pusing dipukul ombak.

“Kami sekeluarga berserah kepada Allah dan sekiranya berlaku perkara di luar dugaan, kami reda dengan ketentuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 12:15 AM