MUHAMMAD Syukur menarik bot gentian kaca dinaiki peserta gotong-royong, hari ini. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


“SAYA terharu apabila Syukur menarik bot gentian kaca dinaiki kami ketika menyusuri paya di kawasan kandang kerbau itu,” kata Mirtdha Mohamad Syaaban.

Mirtdha, 27, antara 77 penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang menyertai Program Gotong-Royong Bersama ‘Mowgli Malaysia’, Muhammad Syukur Khamis sempena ‘International Conference On Soft Skills, Global Volunterism’ di kandang kerbau milik keluarga remaja itu di Kampung Kubang Bujuk, Serada, Kuala Terengganu, hari ini.

Mirtdha yang berasal dari Nigeria berkata, dia pertama kali terbabit dalam program kemasyarakatan seperti itu dan merasa seronok apabila berpeluang menjadi sebahagian peserta.

“Lebih seronok apabila bertemu Syukur dan melihat kemesraannya bermain dengan kerbau yang sebelum ini saya hanya boleh dilihat melalui gambar sahaja.

“Hari ini saya berpeluang melihatnya sendiri dan dia memang layak dipanggil Mowgli Malaysia dengan kecekapannya mengawal ternakan,” katanya yang mengikuti Pengajian Sarjana Kewangan di UniSZA sejak setahun lalu.

Dewi Mukarromah Abdul Muid, 21, dari Sidoarjo, Jawa Timur berkata, dia terpegun melihat kecekapan Syukur bermain dengan semua ternakannya termasuk beruk jantan bernama Boboy.

“Di kampung saya, aktiviti menternak kerbau seperti itu sudah berkurangan dan ia satu pengalaman berharga apabila dapat melakukannya di sini walaupun kandang dipenuhi najis dan tanah liat.

“Saya mengambil peluang membantu Syukur dan keluarganya membersihkan kawasan semak di sekeliling kandang kerbau itu,” katanya.

Sementara itu, Syukur berkata, dia terharu apabila penuntut UniSZA berkumpul seawal 8.30 pagi di kandang kerbaunya untuk bergotong-royong.

Katanya, biasanya kedatangan pengunjung hanya untuk melihat dia bermain dengan kerbau atau merakam gambar, tetapi kali ini mereka datang untuk membantunya bergotong-royong.

“Aktiviti menjaga dan menguruskan kerbau di kandang ini diteruskan pada setiap hari.

“Sehingga hari ini, masih ramai pengunjung sama ada dari dalam atau luar negeri datang ke kandang untuk melihat saya menguruskan kerbau terutama pada awal pagi dan petang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 9:50 PM