FARIDAH Aryani (kanan) bersama Shamsubahrin pada sidang media, hari ini. FOTO Junita Mat Rasid.
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


“MASALAH kewangan punca saya lewat berkempen,” kata calon bebas, Faridah Aryani Abd Ghaffar, 45, menjelaskan isu kehilangannya sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang bermula 2 November lalu.

Faridah membuat penampilan sulung hari ini berkata, dia mempunyai strategi untuk berkempen di saat akhir memandangkan ruang diberikan selama dua minggu.

“Itu strategi kita (lewat kempen), kita ada 14 hari, tetapi memandangkan terdapat satu isu, maka kami menukar strategi yang ada.

“Isu dari segi kewangan tidak mencukupi menyebabkan kami mengambil tujuh hari terakhir untuk berkempen habis-habisan,” katanya pada sidang media di Serkat Kukup di Pontian, hari ini.

Faridah tampil berkempen dengan berbaju kurung dan bertudung ungu ditemani Pengasas Big Blue Capital (M) Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail.

Faridah yang juga ibu tunggal empat anak berkata, tidak kekok berkempen dan menawan hati pengundi, meskipun berdepan dua calon besar dari Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, percaya undi berpihak kepadanya kerana status dirinya sebagai golongan B40 yang membolehkan dia mengangkat masalah rakyat ke peringkat tertinggi.

“Saya sendiri golongan B40 dan tujuan pencalonan saya untuk melaksanakan pelbagai penambahbaikan membabitkan golongan itu termasuk dari sudut ekonomi.

“Saya tidak fokus kepada isu pemandu teksi dan e-hailing semata-mata tetapi membabitkan golongan B40,” katanya yang turut disertai ahli Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM).

Katanya, tidak mustahil dia memenangi hati pengundi kerana menjadi calon alternatif, selain PH dan BN.

“Saya yakin kalau niat kita kerana Allah, segala kekangan dapat diatasi,” katanya yang tidak terkesan dengan komen pihak tertentu mendakwa dia bukan anak jati Tanjung Piai.

Dalam pada itu, Shamsubahrin memberitahu ketiadaannya ketika proses penamaan calon yang lalu kerana baru saja menjalani pembedahan.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 2:33 PM