SEBAHAGIAN dari 1,481 karton minuman keras bernilai RM38,340 yang dirampas dalam serbuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak di kawasan perumahan di Tabuan Desa, Kuching. FOTO Ihsan JKDM
Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my

SEJUMLAH 1,481 karton minuman keras dianggarkan bernilai RM38,340 dirampas dalam serbuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak terhadap sebuah kontena di kawasan perumahan di Tabuan Desa, di Kuching, semalam.

Pengarah JKDM Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, serbuan oleh anggota Bahagian Penguatkuasaan itu dilakukan hasil maklumat serta risikan yang mengesan kegiatan penyeludupan minuman keras dengan menjadikan kawasan perumahan untuk menyimpan barangan berkenaan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Menurutnya, kesemua minuman keras yang dianggarkan 11,729.52 liter itu dirampas kerana belum lulus Kastam apabila tidak mempunyai setem cukai.

“Sebuah kontena yang dijadikan sebagai tempat penyimpanan barangan itu berjaya dikesan dan hasil pemeriksaan anggota kami menemui 1,481 karton minuman keras pelbagai jenama yang disyaki belum lulus Kastam.

“Kesemua minuman keras itu disita untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan adalah berjumlah RM38,340.72 dan jumlah keseluruhan cukai adalah sebanyak RM173,135.24,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, kesemua barang kes yang disita kemudian di bawa ke stor Penguatkuasaan Kuching untuk tindakan selanjutnya.

“Minuman keras itu dipercayai untuk pasaran di sekitar Kuching dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan penalti kerana membuat akuan tidak betul dan kerana memalsukan dokumen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 12:27 PM