Keadaan janin yang ditemui di tandas wanita sebuah pasar raya.
Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my


JANIN dianggarkan berusia antara lima hingga enam bulan ditemui di tandas wanita di sebuah pasar raya di Jalan Waterfront 3, Port Dickson hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, janin itu ditemui orang awam sebelum dilaporkan kepada polis.

“Janin dianggarkan berusia antara lima hingga enam bulan itu ditemui 12 tengah hari.

“Berikutan itu, polis ke lokasi bersama pasukan forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

“Siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah tandas pekerja yang terletak bersebelahan pejabat pasar raya dalam bangunan sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, bagaimanapun bangsa dan jantina janin belum dapat dikenal pasti.

“Pembantu Perubatan dari Hospital Port Dickson (HPD) yang hadir mengesahkan janin itu sudah tidak bernyawa.

“Janin itu dihantar ke HPD untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Aidi Sham berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan polis berusaha mengesan suspek.

“Polis juga meminta pihak yang ada maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi pegawai penyiasat di talian 017-4220322," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 9:42 PM