Laporan portal berita Harian Metro hari ini.
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


“TIADA larangan mengambil gambar di mana saja selagi tidak mendedahkan aurat dan melanggar syariat Islam.

“Namun biarlah suasana gambar itu diambil tidak menjadi penyebab fitnah,” kata Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

Abdul Rahman memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai tindakan model wanita berpakaian pengantin yang tular di laman sosial sejak semalam kerana bergambar di kawasan perkuburan bukan Islam di Batu Pahat, Johor.

Tindakan jurugambar dan model berkenaan mengundang kemarahan warganet yang menganggapnya tidak menjaga sensitiviti umat Islam dan seolah-olah mempersendakan agama penganut lain.

Menurut Abdul Rahman, sebagai Muslim, penting untuk menjaga tingkah laku dan adab terutama ketika berada di tanah perkuburan Islam atau penganut lain.

“Di mana-mana saja boleh bergambar kerana tiada larangan dalam soal itu dengan syarat tidak nampak seperti memburukkan Islam atau merestui kepercayaan agama lain.

“Bagaimanapun, jika aktiviti itu cenderung membawa fitnah, lebih baik dielakkan.

“Ini kerana kita dituntut menjaga adab dan perbuatan termasuk ketika berada di kawasan perkuburan bukan Islam kerana Rasulullah sendiri menghormati penganut agama lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Portal Harian Metro hari ini melaporkan mengenai permohonan maaf pemilik butik, Nur Amirah Mohd Amiruddin, 26, yang mengakui kesilapannya memuat naik gambar dan mengadakan sesi fotografi di kawasan perkuburan bukan Islam.

Menerusi laporan berkenaan, Nur Amirah turut menjelaskan gambar itu diambil untuk koleksi peribadi, bukannya tujuan pemasaran.

Berita berkaitan

'Saya silap, bukan cari publisiti'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 5:36 PM