Oleh Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


TUN Dr Mahathir Mohamad menyindir calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai sebagai tidak memahami isu semasa berkempen.

Perdana Menteri berkata demikian mengulas pertikaman lidah antara calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkaitan kemerosotan harga kelapa sawit.

“Kalau mereka tak faham isu bagaimana mereka boleh memberi kefahaman kepada pengundi,” tegas beliau kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, malam ini.

Turut hadir semua pucuk pimpinan parti komponen PH.

Semalam semasa berkempen Karmaine menasihatkan pekebun kecil tidak mengeluh mengenai kemerosotan harga kelapa sawit.

Katanya, walaupun harga komoditi itu kini turun kepada RM270 satu tan, pekebun kecil perlu bersyukur kerana mendakwa ia masih tinggi daripada RM87 satu tan pada zaman pemerintahan BN.

Bagaimanapun kenyataan itu ditempelak calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng yang menuduh Karmaine menipu.

Menurutnya semasa era pentadbiran PH, harga minyak sawit di Tanjung Piai berada di bawah paras RM400 dengan RM270/tan sebagai harga terendah yang dicatatkan.

Dalam pada itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH mahu jentera parti itu bekerja kuat memastikan kemenangan di kerusi berkenaan.

“Kita mesti kerja kuat termasuk saya akan turun berkempenkerana percaya ada peluang menang di PRK Tanjung Piai,” kata beliau.

Beliau berkata, pengundi di kawasan Parlimen itu mesti mengambil kira bahawa kemenangan PH akan memastikan segala janji dapat ditunaikan.

Beliau mengingatkan bahawa PH menguasai Kerajaan Negeri Johor dan Pusat yang akan memudahkan segala janji-janji ditunaikan.

“Harap penduduk sana akan sedar bahawa kemenangan PH maknanya janji boleh ditunaikan kerana kami berkuasa di Johor dan Pusat.

“Sebaliknya sebagai sekiranya MCA menang, mereka tak boleh buat apa-apa,tak boleh tukar kerajaan Johor pun,” kata beliau.

PRK kerusi Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Karmaine, Wendy Subramaniam (GERAKAN), Wee, Datuk Dr Badrulhisham Abd Aziz (BERJASA) dan dua calon BEBAS iaitu Faridah Aryani Abdul Ghaffar dan Ang Chuan Lock.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 16 November sebagai hari mengundi manakala 12 November bagi pengundian awal.


TUN Dr Mahathir Mohamad bergurau bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. FOTO/MOHD FADLI HAMZAH

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 1:15 AM