Nur Liyana maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala. FOTO Ihsan Pembaca
Zaid Salim
am@hmetro.com.my


WANITA maut manakala anak dan adiknya cedera selepas motosikal dinaiki terbabit kemalangan di Kampung Gong Pipit, Gelugor, Kuala Terengganu hari ini.

Dalam kejadian 3.05 petang itu, mangsa, Nur Liyana Hussin, 28, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala.

Anak bongsunya, Afiq Al Muktaqin Syah, dua tahun dan adik perempuannya, Nur Syakirah, 18, cedera.

Adik mangsa, Muhammad Firdaus, 23, berkata, kejadian berlaku ketika kakaknya, Nur Liyana menunggang motosikal dari rumah di Kampung Kedai Buloh ke Kampung Gelugor bersama anak dan adik perempuan untuk membeli sayur dan barangan keperluan dapur.

Katanya, pihaknya difahamkan ketika dalam perjalanan, motosikal ditunggangi kakaknya mengekori lori yang didakwa membawa muatan kayu panjang melebihi badan lori tanpa meletakkan kain merah pada hujung kayu.

“Sebaik tiba di lokasi, lori itu dikatakan membelok ke kiri untuk memasuki simpang menyebabkan kakak yang berada di belakang lori terlanggar hujung kayu sebelum motosikal dinaiki terbalik.

“Kejadian itu menyebabkan kakak terjatuh ke tengah jalan manakala adik dan anaknya terjatuh ke kanan jalan.

“Kakak meninggal di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian suami kakaknya, Bahaman Syah Mat Hassan, 36, yang bekerja sebagai pemandu bas ekspres dalam perjalanan membawa penumpang dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu.

Katanya, ahli keluarga sudah memaklumkan kejadian kepada abang iparnya itu.

“Arwah kakak meninggalkan tiga anak yang masih kecil iaitu, Aidil Al Mukmin Syah, tujuh tahun; Arif Al Muhaimin Syah lima tahun serta bongsu yang turut cedera dalam kemalangan itu,” katanya.

Motosikal mangsa terbabit kemalangan dengan lori yang membawa kayu. FOTO Ihsan pembaca

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abd Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut masih dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 10:42 PM