Muhamad Zikril Azan (dua kiri) melihat tong gas LPG subsidi di stor simpanan gas LPG tidak berlesen di Pulau Indah. FOTO Roslin Mat Tahir
Nur Lela Zulkipli
nurlela@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menyita 335 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dan industri bernilai RM88,000 dalam serbuan di sebuah premis di Pulau Indah, Klang hari ini.

Pengarahnya, Muhammad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan 10 pagi itu adalah hasil risikan dua minggu pihaknya sebelum berjaya mengesan aktiviti memindahkan gas daripada 198 tong LPG 14 Kilogram (kg) bersubsidi kepada 137 tong gas industri 50 kg secara haram.

“Siasatan awal mendapati sindiket memilih kawasan sunyi untuk menjalankan aktiviti pemindahan gas bagi mengelak aktiviti mereka dihidu dan dijadikan stor penyimpanan gas LPG.

“Kita percayai mereka sudah lebih dua bulan beroperasi dan sering berpindah randah supaya gagal dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media hari ini.

Katanya, pihaknya turut menahan enam lelaki warga asing termasuk tiga Myanmar dan seorang warga Bangladesh serta dua warga tempatan berusia antara 30 hingga 40 tahun.

“Ketika serbuan semua suspek sedang memindahkan gas dari tong LPG bersubsidi kepada tong gas industri dan cuba melarikan diri sebaik menyedari kewujudan pihak berkuasa.

“Namun cubaan mereka gagal selepas kita berjaya mengepung kawasan ini terlebih dulu.

“Hasil pemeriksaan semua warga asing yang ditahan didapati tiada dokumen perjalanan sah dan dipercayai mereka pakar dalam memindahkan gas secara manual,” katanya.

Turut dirampas treler 5 tan yang digunakan untuk mengangkut tong yang sudah siap dipindahkan gas bagi pasaran sekitar Lembah Klang.

Alatan memindahkan gas seperti hos getah, penyambung LPF, alat penimbang elektronik dan kiub ais turut dirampas.

Katanya, premis berkenaan turut beroperasi tanpa lesen dan pihaknya sedang mengesan ketua aktiviti berkenaan.

“Setiap tong industri seberat 50 kg itu dipercayai dijual pada harga RM200 sekali gus mengaut keuntungan berlipat ganda.

“Kita dapati semua suspek memindahkan gas berkenaan secara manual adalah sangat berbahaya dan boleh mengancam nyawa,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM2 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 7:30 PM