DATUK Seri Najib Razak (kiri) hadir pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Syarafiq Abd Samad.
Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar
am@hmetro.com.my


BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi mengakui di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa usaha sama antara syarikat pelaburan kerajaan itu dengan PetroSaudi Ltd (PSI) gagal.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam prosiding bicara yang masuk hari ke-32.

Shahrol memberi keterangan dalam kes membabitkan Najib yang didakwa atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah RM2.28 bilion.

Terdahulu, Muhammad Shafee merujuk saksi kesembilan itu dengan minit mesyuarat bulanan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB bertarikh 5 Julai 2010.

SHAFEE: Setuju dengan saya bahawa usaha sama 1MDB-PSI pada 2009 adalah gagal?

SHAHROL: Ya, setuju.

SHAFEE: Setuju saya katakan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) tidak dimaklumkan berhubung wang AS$700 juta yang dipindahkan ke dalam akaun Good Star Limited (syarikat milik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low)?

Dalam keterangan sebelum ini, wang itu adalah sebahagian daripada AS$1 bilion yang sepatutnya dibayar kepada PSI untuk projek usaha sama dengan 1MDB pada 2009.

SHAHROL: Ya, ia tidak dimaklum kepada BNM ketika mesyuarat antara wakil mereka dengan 1MDB pada pertengahan Oktober 2010.

SHAFEE: Kenapa BNM tidak dimaklumkan berhubung perkara ini?

SHAHROL: Ketika itu, kami masih merasakan bahawa wang itu dimasukkan ke dalam akaun PSI.

Sementara itu, Muhammad Shafee yang membangkitkan isu berhubung ‘kebolehan istimewa’ Ketua Pegawai Pelaburan 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil dan Jho Low yang didakwa boleh menyiapkan minit mesyuarat lebih awal sebelum pertemuan dibuat.

SHAFEE: Tidakkah ia pelik bagaimana Nik Faisal dan Jho Low boleh terlebih dahulu menyiapkan isi kandungan minit mesyuarat sebelum ia berlaku? Sebagai contoh, bagaimana Nik Faisal sudah siap menyiapkan minit mesyuarat pada 21 Julai 2010 sebelum ia berlaku. Adakah dia mempunyai kebolehan istimewa untuk mengetahui perkara yang berlaku lebih awal?

SHAHROL: Mungkin ia kerana ada perbincangan dibuat sebelum mesyuarat diadakan.

SHAFEE: Itu hanyalah tekaan kamu?

SHAHROL: Ya, seperti mana anda meneka Nik Faisal ada kebolehan istimewa.

SHAFEE: Saya cadangkan kepada kamu bahawa kamu adalah sebahagian daripada konspirasi dengan Jho Low dan Nik Faisal. Kamu seperti pepatah Melayu iaitu cuba menegakkan benang yang basah? Kamu sebenarnya berkonspirasi dengan mereka dan kamu meletakkannya kepada Perdana Menteri (Najib)?

SHAHROL: Tidak setuju.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 5:51 PM