Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


SERAMAI 132,654 pendatang tanpa asing (PATI) yang berniaga tanpa kebenaran ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi tempoh Januari 2017 hingga 31 Ogos 2019.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, kesemua PATI itu ditahan menerusi 43,612 operasi penguatkuasaan di seluruh negara.

“Dalam tempoh sama, JIM turut menahan 3,666 majikan kerana melindungi pekerja asing berkenaan.

“Selain itu, sebanyak 139 operasi penguatkuasaan di pasar borong bagi tempoh 1 Januari hingga 26 September lalu yang mana 375 PATI dan 54 majikan ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Su Keong Siong (PH-Kampar) yang mahu tahu statistik tindakan penguatkuasaan terhadap PATI yang berniaga tanpa kebenaran.

Menjawab lanjut, pihak berkuasa tempatan (PBT) turut mengambil tindakan penguatkuasaan bersepadu bersama agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JIM dengan 599 operasi penguatkuasaan oleh PBT dan 492 operasi penguatkuasaan bersepadu.

Raja Kamarul Bahrin berkata, kementeriannya turut mengeluarkan surat kepada semua PBT pada 7 Ogos lalu supaya meningkatkan operasi penguatkuasaan bersepadu bersama-sama agensi kerajaan lain bagi tujuan mengekang kegiatan berkenaan.

“Sebagai langkah kawalan, warga asing tidak dibenarkan menjalankan perniagaan kecil seperti mengusahakan kedai runcit atau lain-lain perniagaan menggunakan lesen milik penduduk tempatan,” katanya.

Katanya, bagi memantau kegiatan perniagaan oleh warga asing, Jemaah Menteri pada 29 Mac lalu bersetuju satu jawatankuasa khas ditubuhkan dengan dianggotai Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

Raja Kamarul Bahrin berkata, jawatankuasa ini berperanan meningkatkan keselamatan dan menangani kebanjiran warga asing yang mendominasi beberapa pasar borong utama di Lembah Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 4:03 PM