APMM merampas bubu naga di perairan Pulau Talang, Pantai Remis. FOTO Ihsan APMM
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 338 bubu naga dan dua bot fiber bersama enam nelayan tempatan di perairan Pulau Talang, Pantai Remis di Lumut semalam.

Dalam kejadian pada 4.30 petang itu, enam lelaki berkenaan dikesan sedang memasang bubu naga di kawasan perairan terbabit.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kru kedua-dua bot berkenaan saling mengenali dan hasil pemeriksaan mendapati satu daripadanya tidak mempunyai lesen.

“Pemeriksaan lanjut pada bot berkenaan membawa kepada rampasan 338 unit bubu naga.

“Bot bersama enam kru yang berusia antara 16 hingga 45 tahun kemudian dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Acheh, Sitiawan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahrizan berkata, jumlah keseluruhan nilai termasuk bot yang dirampas dianggarkan bernilai RM200,000.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat-syarat menangkap ikan yang tidak dibenarkan oleh Ketua Pengarah Perikanan.

“Jika disabitkan kesalahan, denda sebanyak RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 10:45 AM