Faliq Lajim
faliq.lajim@nstp.com.my


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendoakan kejayaan pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Dr Mahathir dalam ucapan video di Twitter rasminya malam ini berharap pelajar yang menduduki kedua-dua peperiksaan itu lulus cemerlang.

Dalam pada itu, beliau turut memberi tips kepada pelajar untuk menghadapi peperiksaan berkenaan.

“Untuk peperiksaan, kita perlu ulang balik segala pelajaran yang kita dapat sepanjang tahun.

“Mengulangkaji berkali-kali bermakna kita tidak akan lupa isi kandungan jawapan yang diperlukan,” katanya.

Beliau turut berharap pelajar menghadapi cabaran itu dengan tenang dan membuat persediaan cukup untuk memperoleh kelulusan terbaik.

“Saya harap mereka akan gembira selepas (keputusan) peperiksaan diumumkan,” katanya.

Seramai 416,416 calon berdaftar menduduki SPM Fasa 2 bermula hari ini sehingga 28 November ini.

Bagi STPM Semester 3, 47,537 calon menduduki peperiksaan itu yang bermula semalam sehingga 13 November ini.


FOTO Hiasan. FOTO Arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 12:08 AM