Dr Mahathir (tiga kiri) bersama pemimpin negara lain pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 di Bangkok. FOTO Bernama
BERNAMA

KEM Pakatan Harapan (PH) di kawasan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai akan menerima suntikan semangat baharu tidak lama lagi, susulan persetujuan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir untuk berkempen bagi calonnya, Karmaine Sardini.

“Saya akan (turun berkempen)… sekurang-kurangnya sekali,” kata Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada sidang media di Bangkok sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 bersama media Malaysia hari ini.

PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16 November ini menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Karmaine, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) serta dua calon bebas iaitu pengasas pusat tuisyen, Dr Ang Chuan Lock dan ahli perniagaan, Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Ia diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari PH pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Pada PRU14, Allahyarham Md Farid menang dengan majoriti 524 undi menewaskan Wee (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

PH dalam usaha mempertahankan kerusi parlimen itu meletakkan Karmaine yang juga Ketua Bahagian BERSATU Tanjung Piai sebagai calonnya, manakala BN meletakkan bekas penyandang, Wee.

Sementara itu merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi untuk tidak mengenakan apa-apa sekatan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak susulan ketidakhadiran beliau pada perbicaraan mahkamah berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Khamis lalu, Dr Mahathir berkata, beliau tidak akan mempersoalkan keputusan hakim berkenaan.

“Dia (Najib) diberi cuti dan tidak hadir di mahkamah, tapi dia boleh berkempen di Tanjung Piai… kita tidak mempersoalkan hakim, mereka (hakim) yang memutuskan,” katanya.

Khamis lalu Najib tidak menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mendapat cuti sakit berikutan matanya bengkak namun beliau dilihat berada di Johor pada malamnya dikatakan untuk menghadiri majlis penamaan calon PRK itu pada hari berikutnya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 9:43 PM