AHLI keluarga kanak-kanak terlantar memuat naik mengenai posting palsu menggunakan Harian Metro Online MY, kononnya mereka mengutip derma kilat bagi kos rawatan dan perbelanjaan harian.
Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my


MERAIH simpati menggunakan gambar kanak-kanak terlantar antara taktik digunakan sindiket penipuan untuk mengutip dana daripada orang ramai.

Bukan itu sahaja, malah individu terbabit menyamar dengan menggunakan Facebook Harian Metro (HM) serta meletakkan nombor akaun konon ia milik bapa kepada kanak-kanak terbabit, namun disedari salah seorang pengguna Facebook ketika mahu memasukkan wang.

Susulan perbuatan tidak bertanggungjawab itu, ahli keluarga kepada kanak-kanak terbabit membuat laporan di Balai Polis Kangar petang hari ini bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung perbuatan itu.

Hantaran itu dimuat naik dalam Facebook menggunakan nama Harian Metro Online MY meminta derma kilat sebanyak RM1 untuk membantu Muhammad Saifullah Muhammad Danial yang menghidap tumor pada otak serta kegagalan untuk mengawal saraf utama.

Malah, pemilik akaun turut memberitahu kos rawatan untuk kanak-kanak berkenaan adalah RM54,000 termasuk kos harian dan susu formula khas.

Berikutan itu, seorang lelaki dipercayai ahli keluarga kanak-kanak terbabit memuat naik hantaran menerusi FB miliknya meminta supaya orang ramai tidak terpedaya dengan taktik berkenaan.

Dalam hantaran itu, mereka memaklumkan scammer menyalahguna gambar anaknya untuk mengutip dana dengan akaun diberikan milik orang lain dan bukannya bapa kepada kanak-kanak itu.

“Mohon bantuan anda semua untuk melaporkan hantaran di FB Harian Metro Online MY kerana ia palsu,” katanya.

Sementara itu, Pengarang Kumpulan HM, Tuan Mohd Asri Tuan Hussein berkata, HM tidak pernah mengendalikan atau menggunakan laman FB Harian Metro Online MY untuk paparan berita semasa.

Menurutnya, akhbar ini sebaliknya menggunakan laman Facebook atas nama Harian Metro yang mempunyai perakuan pihak FB sendiri.

Laman rasmi Harian Metro ialah www.hmetro.com.my, laman FB facebook.com/harianmetro menerusi nama Harian Metro, Twitter @hmetromy dan Instagram @hmetromy.

Semakan mendapati Harian Metro Online MY masih lagi memuat naik gambar kanak-kanak terbabit dan FB ini pernah melakukan perkara sama untuk meminta dana bagi membantu seorang kanak-kanak yang sakit rosak hati dan jantung pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 8:57 PM