KENDERAAN yang dinaiki mangsa rentung. FOTO Ihsan Bomba
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


SEORANG wanita rentung dalam kereta yang terbabit kemalangan di Jalan Dam Simpang Putatan dekat Lahad Datu, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa yang belum diketahui identitinya rentung dalam Proton Saga yang dipandunya, manakala seorang lagi mangsa menaiki pacuan empat roda, Toyota Hilux Revo, selamat.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 6.24 pagi.

“Seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dikejar ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Toyota Hilux Revo dan Proton Saga itu dipercayai bertembung dan ada dua mangsa dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, seorang mangsa yang menaiki pacuan empat roda cedera ringan dan dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.

“Mayat wanita yang rentung diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Pasukan bomba kemudian membuat pemeriksaan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan pada 7.11 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 11:01 AM