KARMAINE (kanan) menyematkan lencana parti kepada pengunjung di sebuah restoran ketika melakukan lawatan di Pekan Nenas, Pontian. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


SUASANA hari kedua kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai semakin menarik apabila calon tiga parti bertanding berkongsi pentas kempen sama.

Bahkan aura pagi dan cuti khas peristiwa pagi ini digunakan calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bertemu pengundi di Pasar Pagi Pekan Nanas, Pontian.

Tinjauan Harian Metro mendapati, jentera ketiga-tiga parti sudah bersiap sedia bersama bahan kempen termasuk risalah bagi menambat hati pengundi di lokasi itu.

Bahkan seawal jam 7 pagi, kelibat jentera ketiga-tiga parti daripada enam calon bertanding sudah membanjiri pasar pagi dan pasar awam di Pekan Nanas.

Calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng yang tersenarai di kedudukan kedua pada kertas undi dilihat hadir bertemu pengundi jam 7 pagi.

Turut kelihatan jentera dan calon Gerakan, Wendy Subramanian yang turut mengambil peluang berkempen di sama pada masa sama.

Kehadiran kedua-dua calon dimeriahkan lagi dengan kemunculan calon PH dari Bersatu, Karmaine Sardini jam 10 pagi.

Kemunculan ketiga-tiga calon diterima baik pengundi terutama penduduk setempat dan peniaga di kawasan berkenaan.

Malah, sikap terbuka penduduk setempat membolehkan risalah diagihkan dalam suasana harmoni meskipun masing-masing mempromosikan parti berbeza.

Lebih menarik, tiada sebarang provokasi dilakukan mana-mana pihak, sebaliknya setiap jentera parti memiliki kelebihan tersendiri bagi menarik perhatian pengundi.

Kelihatan jentera BN membuka trak kempen bagi berkongsi isu semasa membabitkan keadaan ekonomi semasa, selain berkongsi risalah kempen.

Jentera PH pula membawa Buletin 01 dengan berkongsi pelbagai berita menarik membabitkan kerajaan dibentuk di bawah PH.

Bagi jentera Gerakan pula, risalah dikongsi membabitkan status, pengajian, jawatan dan pengalaman calon mereka.

Peluang di pentas terbuka digunakan tiga calon mempromosi dan memperkenalkan diri kepada pengundi di Pekan Nanas.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 6:22 PM