KARMAINE (tengah) bertemu pengunjung restoran di Pekan Nenas. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


“Doakan untuk saya.” Demikian permintaan calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini, 66, ketika berkempen menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK), Tanjung Piai di Pontian, 16 November ini.

Karmaine berkata demikian sejurus selesai bertemu media ketika memulakan kempen hari kedua bersama jentera PH di Pasar Pagi dan Pasar Awam, Pekan Nanas, hari ini.

Katanya, dia mempunyai jadual padat yang disusun urusetia untuk bertemu pengundi di kawasan berkenaan.

“Setakat ini (kempen hari kedua) berjalan lancar dan mengikut jadual disusun urusetia.

“Saya rasa, saya tidak boleh berhenti lama dan perlu bertemu pengundi di kawasan PRK Tanjung Piai ini,” katanya ketika ditemui di Pasar Pagi Pekan Nanas.

Beliau berkata, penerimaan masyarakat terutama pengundi sangat baik, selain menerima respon positif.

“Penerimaan (pengundi) Alhamdulillah, masing-masing (pengundi) mahu saya datang tempat diorang (mereka),” katanya.

Menurutnya, perlu bertemu semua pengundi di Tanjung Piai seperti di kawasan bandar dan kampung.

“Walaupun dulu kita tahu ada sebahagian kawasan kita kalah dan menang, tapi kita kena pergi semua kawasan.

“Kita tidak boleh pilih kawasan kita menang sahaja dan ia perlu menjadi keutamaan (jika mahu mendapat sokongan),” katanya.

Menurutnya, perlu baginya bertemu pengundi kerana ada yang hanya kenal nama, namun tidak pernah melihat wajahnya.

“Sebab itu penting bagi saya berkempen untuk bertemu rakyat dan memperkenalkan diri.

“Mungkin diorang (pengundi) tahu nama saya, tapi orangnya tidak nampak,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 6:16 PM