LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


POLIS giat mengesan beberapa individu dipercayai terbabit dalam kes khianat dan fitnah terhadap anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu yang menjalankan tugas berhampiran kemalangan dekat Kampung Tok Dor, Ajil, Hulu Terengganu, pada 21 Oktober lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, mereka yang terbabit dalam insiden itu tidak tampil memberi siasatan walaupun sudah hampir dua minggu kemalangan itu.

“Kita percaya mereka ini penduduk setempat dan usaha mengesan mereka giat dijalankan bagi membantu siasatan susulan laporan yang dibuat JPJ selepas kenderaan jabatan itu dirosakkan selain menuduh pasukan itu melakukan operasi bagi mendapatkan ‘duit kopi’.

“Setakat ini, kita masih belum membuat sebarang tangkapan tetapi ada tiga, empat saksi bebas sudah dipanggil bagi mengumpul keterangan termasuk anggota JPJ yang terbabit dalam insiden berkenaan.

“Kes ini masih dalam tindakan bahagian siasatan jenayah dan tindakan seterusnya akan diambil sebaik kita mempunyai bukti yang mencukupi

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan khianat dan Seksyen 500 KK kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan Program Ronda Cegah Jenayah yang bermula di kawasan Skim Rondaan Sukarela (SRS) Bukit Tunggal dan berakhir di Jambatan Angkat di Kuala Nerus, malam tadi.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan murid tahun enam putus kaki kanan apabila motosikal dibonceng bersama bapa saudaranya bertembung dengan kereta.

Kejadian turut tular di media sosial apabila rakaman video memaparkan beberapa individu memarahi tiga anggota JPJ yang berada berdekatan lokasi kemalangan.

Rakaman video tular memaparkan beberapa individu memarahi tiga anggota JPJ yang menjalankan tugas di lokasi berkenaan dengan mendakwa mereka menjadi punca kemalangan.

Menerusi rakaman video berdurasi 1 minit 59 saat, terdapat lelaki mencabar anggota JPJ bertumbuk selain menuduh pasukan penguat kuasa itu melakukan operasi bagi mendapatkan ‘duit kopi’.

Berita berkaitan

Murid putus kaki dibedah esok

Bapa saudara turut hilang kaki

'Adik tak tahu kakinya sudah tiada'

Video tular: JPJ Terengganu lapor polis

Murid putus kaki dalam kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 4:12 PM