FOTO Arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my


SEMPENA Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2019 esok, waktu operasi perkhidmatan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga 1 pagi.

Pengendali sistem rel transit bandar dan bas henti-henti Rapid KL dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, tiga laluan bas Rapid KL akan dilanjutkan waktu perkhidmatan membabitkan bas terakhir berlepas pada 1 pagi.

“Laluan yang terbabit adalah Stesen LRT Awan Besar ke Batu 3 Jalan Klang Lama (652), Stesen LRT Awan Besar menuju ke TPM - Stesen LRT Bukit Jalil (T580) serta Stesen LRT Awan Besar ke LRT Salak Selatan - Bukit Jalil (T582).

“Bagaimanapun, stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa, tetapi penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing,” kata kenyataan itu.

Rapid KL turut menyarankan warga kota menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam untuk ke stadium bagi mengelak kesesakan di jalan raya.

“Orang ramai boleh menggunakan kad Touch ‘N Go atau membeli token perjalanan pulang lebih awal untuk memudahkan perjalanan yang lebih lancar.

“Pengguna perkhidmatan awam pada malam esok juga dinasihatkan untuk menjaga keselamatan masing-masing dan sila berhubung dengan petugas stesen sekiranya memerlukan bantuan,” katanya.

Kata kenyataan itu, kemudahan parkir kenderaan juga disediakan di stesen berdekatan dengan stadium.

“Bagi mereka yang ingin memandu pada malam perlawanan itu nanti, mereka boleh meletakkan kenderaan masing-masing di stesen LRT berdekatan dengan stadium yang menyediakan perkhidmatan parkir.

“Stesen terbabit adalah Stesen LRT Muhibbah, Stesen LRT Awan Besar serta Stesen LRT Sri Petaling,” katanya.

Untuk sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh mengikuti Twitter dan Facebook MyRapidKL.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 11:15 AM