Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


“HANYA calon kerajaan saja boleh tunaikan janji,” kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bin Chong di Pontian, hari ini.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU berkata, pada Pilihan Raya Kecil (PRK), tidak ada maknanya janji yang dibuat parti lawan.

“Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, gabungan parti lawan oleh Pakatan Harapan (PH) membuat janji kerana kita percaya, kita akan menang.

“Tetapi dalam PRK, janji tidak mempunyai makna, kalau dibuat parti lawan,” katanya ketika berucap di hadapan 1,000 tetamu.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal; Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

Dr Mahathir berkata, PRK Parlimen Tanjung Piai bukan untuk menukar kerajaan kerana keputusannya tidak dapat mengubah apa-apa.

“Kali ini, kita ada PRK (Tanjung Piai) dan ia bukan untuk tukar kerajaan kerana siapa yang menang atau siapa kalah, kerajaan tetap kerajaan itu juga.

“Kerajaan seluruh negara adalah kerajaan PH dan begitu juga di Johor dinaungi kerajaan PH,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, parti lawan akan membuat pelbagai janji.

“Kalau mereka (pembangkang) menang mereka tidak boleh tunai janji sebab mereka bukan kerajaan,” katanya.

Dr Mahathir berkata, kerajaan PH adalah kerajaan kuat dan memakmurkan negara dengan melaksanakan pelbagai perancangan termasuk menyediakan kemudahan infrastruktur.

Beliau berkata, mereka tidak akan hulur wang seperti kerajaan terdahulu kerana itu dinamakan sogok dan mereka bukan memberi wang, tetapi memberi pekerjaan.

Menurutnya, dia percaya calon PH bagi PRK Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, akan mendapat sokongan rakyat.

“Saya yakin Karmaine adalah calon yang mampu menunaikan janjinya.

“Beliau seorang calon terkenal di kawasan ini dan khidmatnya tetap mendapat sokongan penuh daripada kerajaan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan akan terus melaksanakan pembangunan dirancang bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

Katanya, kerajaan akan membuat pelbagai perancangan termasuk memfokuskan infrastruktur perkampungan nelayan dan berjanji melaksanakannya.

Menyentuh mengenai kehadirannya di Pontian, Dr Mahathir berkata, beliau amat gembira untuk kembali ke kawasan itu yang kerap dikunjunginya 40 tahun lalu.

“Pada masa itu, saya menjadi pengerusi sebuah agensi dan saya sering membuat lawatan untuk melihat kilang nanas di Pekan Nanas.

“Nampak jelas perubahan berlaku sejak 45 tahun lalu dan bangunan sekarang begitu cantik dan penduduknya ramai,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 7:37 PM
    DR Mahathir menjulang tangan Karmaine pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di SJKC Bin Chong, Pontian, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim.