Gambar Hiasan
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


POLIS Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan mengatakan ada anggota Unit Kereta Peronda (MPV) memeras ugut dengan meminta wang daripada pengunjung pusat hiburan, baru-baru ini.

Difahamkan, anggota MPV ini menjadikan pengunjung pusat hiburan yang keluar dari premis ketika awal pagi dan memandu dalam keadaan mabuk untuk meminta sejumlah wang bagi mengelak dikenakan tindakan.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Roslee Chik berkata, siasatan menyeluruh sedang dijalankan.

“Kita ada terima maklumat daripada beberapa saksi mendakwa melihat anggota polis MPV memeras ugut dan meminta wang daripada pengunjung pusat hiburan yang ditahan ketika memandu dalam keadaan mabuk.

“Setakat ini, kita sudah mengenalpasti sekurang-kurangnya enam anggota polis daripada tiga unit MPV terbabit dalam kes peras ugut itu,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Kontinjen Polis Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.

Roslee berkata, walaupun maklumat terbabit hanya diterima secara lisan, namun pihaknya memandang serius perbuatan itu dan akan menjalankan siasatan secara terperinci dan telus.

“Berikutan itu, kita meminta individu yang pernah menjadi mangsa peras ugut tampil membuat laporan polis bagi memudahkan siasatan dilakukan.

“Jika terbukti bersalah, kita akan mengambil tindakan mengikut undang-undang terhadap anggota polis yang terbabit dalam pemerasan ini,” katanya.

Menurutnya, anggota MPV sepatutnya memberi pertolongan kepada orang awam dan jika mereka (pengunjung) bersalah, ambil tindakan sepatutnya dan bukan menyelesaikannya dengan cara memeras ugut atau meminta wang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 12:35 PM