WEE (tengah) bersama Hasni (empat dari kanan) dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (empat dari kiri) selepas diumumkan sebagai calon BN malam ini. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Togi Marzuki
am@hmetro.com.my


RAMALAN pelbagai pihak mengatakan bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng akan mewakili Barisan Nasional (BN) bagi merebut semula kerusi itu terbukti benar apabila beliau diumumkan sebagai calon, malam ini.

Pengumuman dilakukan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohamad di Pejabat UMNO Bahagian Pontian.

Difahamkan persetujuan dicapai antara parti komponen BN yang mengutamakan semangat permuafakatan seperti mana diperjuangkan sejak penubuhannya.

Sebelum ini, pelbagai reaksi dikongsi beberapa pihak di laman sosial yang mahukan kerusi itu direbut UMNO selepas Wee tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu.

Difahamkan keadaan itu menyebabkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mengumumkan calon untuk PRK Parlimen Tanjung Piai, Isnin lalu.

Bagaimanapun, semua perbalahan berjaya diselesaikan dan semua parti komponen sebulat suara akan bekerjasama bagi mencapai kemenangan.

Isnin lalu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Ketua BERSATU Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada PRK Parlimen Tanjung Piai.

Wee pernah menjadi Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal bermula 2013 hingga 2018 sebelum tewas dengan majoriti 524 undi kepada Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik (BERSATU) pada PRU-14.

Sebelum itu, Wee menyandang kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas pada 2004 hingga 2008.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 9:39 PM