AIDA Amira ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Alor Setar atas tuduhan menyebabkan kematian anaknya pada Ogos 2016. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya, hari ini mengekalkan hukuman penjara 15 tahun ke atas seorang ibu muda kerana menyebabkan kematian anak perempuannya berusia dua tahun, pada 2016.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah sebulat suara menolak rayuan Aida Amira Harun terhadap hukuman penjara.

Aida Amira, 25, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar yang meningkatkan hukuman penjara kepada 15 tahun.

Pada 28 Mei 2017, Mahkamah Sesyen Alor Setar menjatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM3,000 dan jika gagal membayar denda, boleh dipenjara setahun lagi, ke atasnya selepas wanita itu mengaku bersalah menyebabkan kematian anaknya, Ainul Solehah Mohd Husamuddin di sebuah rumah di Bandar Aman Jaya, Sungai Petani pada 10 Ogos 2016.

Bagaimanapun, pada 30 Mei 2018, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pendakwaan untuk meningkatkan hukuman penjara ke atas wanita itu.

Berdasarkan fakta kes, Aida Amira bergegas membawa anaknya ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah pada 10 Ogos 2016 selepas mendapati kanak-kanak itu tidak sedarkan diri.

Doktor yang merawat si mati mengesyaki kanak-kanak itu didera berdasarkan kesan lebam yang ditemui di abdomen dan anggota sulitnya.

Aida Amira ditangkap pada 11 Ogos 2016 dan hasil siasatan, wanita itu mengaku dia mendera anaknya beberapa kali dengan cara menendang belakang kanak-kanak itu.

Laporan bedah siasat mendedahkan kematian mangsa adalah akibat usus pecah kerana dipukul oleh objek tumpul.

Matthew Jude, peguam yang mewakili Aida Amira berhujah bahawa hukuman penjara 15 tahun itu secara nyata berlebihan.

Beliau berkata masa itu Aida Amira, yang mempunyai dua anak lain, berada dalam tekanan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurshafini Mustafha berkata, terdapat 31 kecederaan pada kanak-kanak itu, sambil menambah bahawa Aida Amira tidak seharusnya melepaskan kekecewaannya terhadap kanak-kanak tersebut.

Beliau berkata bahawa laporan psikologi menyatakan bahawa Aida Amira mengalami tekanan selepas kejadian itu.

Dua lagi anak Aida Amira kini berada di bawah jagaan datuk mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 6:06 PM