MOHD Dzulfadzli didenda RM5,000 selepas mengaku salah memiliki murai batu dan duri landak raya di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar. FOTO MUHAMMAD APPENDY ISSAHAK
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


PENOREH getah didenda RM5,000 selepas mengaku salah memiliki seekor burung murai batu dan 94 duri landak raya di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, hari ini.

Mohd Dzulfadzli Majid, 39, didakwa dengan dua pertuduhan memiliki hidupan liar dilindungi antaranya memiliki seekor burung murai batu (Copsychus Malabaricus) tidak matang iaitu hidupan liar dilindungi mengikut Jadual Pertama, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 61 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Dzulfadzli didakwa memiliki 94 duri landak raya (Hyastrix Brachyura) yang juga tersenarai dalam jadual pertama Akta 716.

Dia didakwa mengikut Seksyen 60 (1)(b) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu jam 4 petang 17 November 2017 di sebuah premis di Kampung Bongor, Gerik.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN), Norfadillah Abd Latif di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Ketika rayuan, Mohd Dzulfadzli yang tidak diwakili peguam meminta mahkamah memberi hukuman ringan kerana hanya mengambil upah menoreh getah dan bekerja kampung selain perlu menjaga ibu berusia 80 tahun serta anak.

Hakim Rohaida kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 bagi pertuduhan pertama atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda manakala denda RM2,000 untuk pertuduhan kedua atau empat bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 1:08 PM