FOTO Hiasan
Asrol Awang
am@hmetro.com.my


TAKTIK anggota Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Pahang menyamar sebagai penumpang e-hailing berjaya menarik minat pemandu mencarum bagi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Pengarah PERKESO Pahang, Tarmizi Mukhtar berkata, taktik penyamaran itu membuka mata pemandu e-hailing untuk mendapat perlindungan dari segi kebajikan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini ketika bekerja.

Katanya, setakat ini, lebih 100 risalah termasuk penerangan berkaitan SKSPS disampaikan kepada pemandu terbabit mendapat maklum balas positif.

“Dengan penerimaan itu, PERKESO Pahang percaya jumlah pemandu e-hailing yang akan menyertai skim ini akan bertambah,” katanya di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan rekod, seramai 734 daripada 1,333 pemandu teksi, kereta sewa, e-hailing dan bas persendirian di Pahang mencarum bagi skim berkenaan.

Katanya, baki pemandu yang masih belum mencarum dinasihatkan segera berbuat demikian.

“Pekerjaan mereka antara yang berisiko dan jika berlaku perkara tidak diingini, masih ada faedah yang bakal diterima untuk waris meneruskan kehidupan.

“Oleh itu, PERKESO menasihatkan bukan saja pemandu e-hailing , malah pemandu teksi, kereta sewa dan bas persendirian segera menyertai skim ini untuk masa depan mereka.

“Maklumat 1,333 pemandu teksi, kereta sewa, e-hailing dan bas persendirian ini diperolehi daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 3:10 PM