Muhyiddin (dua dari kiri) bersama Karmaine Sardini (dua dari kanan) yang diumumkan sebagai calon PH untuk PRK Tanjung Piai di majlis memperkenalkan calon dan pelancaran jentera PH di Pontian hari ini. Foto Mohd Azfen Jamaludin
BERNAMA

MENANGANI kos sara hidup dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan terutama untuk golongan muda merupakan antara lima perkara utama yang perlu ditumpukan calon Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencadangkan perkara itu berkata, lima perkara utama yang dilihat membabitkan masyarakat tempatan harus diambil perhatian.

“Saya mahu cadangkan wakil rakyat yang akan dipilih (pengundi) dari PH ini akan tumpukan lima perkara utama iaitu mencari jalan bantu tangani isu kos sara hidup yang merupakan bukan masalah baru.

“Meningkatkan keselesaan hidup, isu berkenaan pencemaran alam dan sungai dan sebagainya mesti kita bantu supaya kehidupan penduduk di Tanjung Piai terpelihara,” katanya ketika berucap di majlis memperkenalkan calon dan pelancaran jentera PH di Pontian hari ini.

Hadir sama Pengarah Jentera PH PRK Tanjung Piai yang juga Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Srikandi BERSATU Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Muhyiddin berkata, perkara ketiga dan keempat yang perlu ditumpukan adalah memperbanyakkan rumah mampu milik dan meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan serta perubatan.

“Syarikat swasta juga elok digalakkan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik di kawasan Tanjung Piai,” katanya.

Muhyiddin berkata, yang kelima ialah meningkatkan peluang pekerjaan terutama kepada anak muda dan mereka yang mempunyai pendapatan yang kecil juga perlu diambil perhatian.

“Kalau mereka tidak ada latihan, kita akan beri. Tiada peluang pekerjaan, kita akan wujudkan industri dan kilang-kilang lebih banyak supaya mereka dapat bekerja, jadi mereka tidak perlu keluar kawasan dan ke Singapura.

“Kalau kita wujudkan industri pelancongan juga, akan ada banyak peluang pekerjaan (kepada golongan muda),” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian BERSATU Tanjung Piai Karmaine Sardini yang diumumkan sebagai sebagai calon PH PRK Parlimen Tanjung Piai berkata, beliau akan melaksanakan amanah yang diberikan kepadanya dengan sebaik mungkin.

Mengulas mengenai lima perkara utama yang dibangkitkan oleh Muhyiddin, beliau sudah mengenal pasti masa depan pembangunan di Tanjung Piai yang kini mula kelihatan.

“Saya berasa selain lima isu yang dibangkitkan, kita sudah kenal pasti masa depan pembangunan di Tanjung Piai seperti jambatan baru merentasi Sungai Pulai yang akan menjadi penghubung baru dari Johor Bahru ke Tanjung Piai serta hanya ambil masa 20 minit.

“Ini juga adalah satu faktor untuk menaikkan ekonomi dalam industri pelancongan, selain mengambil kira tiga sektor penting (di Tanjung Piai) iaitu dari segi ekonomi pertanian, perikanan dan industri,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 8:03 PM