SUSPEK dan barang yang dirampas daripada mereka. FOTO Ihsan APMM
Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup keluar barang kawalan bersubsidi di kawasan perairan Tanjung Saima, dekat Tawau, pada Sabtu.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata,

sepasukan anggota yang menjalankan rondaan berjaya mengesan sebuah bot jenis fiber dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan, pada 3.40 petang.

Beliau berkata, bot penumpang itu dikesan menuju ke Sungai Haji Kuning, Pulau Sebatik dari perairan Ice Box, sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

“Pemeriksaan awal mendapati seorang juragan bersama pembantu lelaki kedua-duanya warga tempatan masing-masing berumur 21 dan 24 tahun.

“Anggota kita kemudian menemui tujuh tong gas petroleum cecair (LPG) dan minyak masak sebanyak 170 kilogram di dalam bot, disyaki cuba diseludup keluar,” katanya menerusi kenyataan di Tawau, hari ini.

Mohd Yusri berkata, juragan terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Katanya, semua barang rampasan termasuk bot fiber bersama satu unit enjin sangkut jenis Yamaha 40 kuasa kuda dianggarkan bernilai lebih RM16,000 dibawa ke jeti Zon Maritim Tawau untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 9:45 AM