JAMBATAN angkat di Terengganu. FOTO Arkib NSTP.
Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@bh.com.my


JAMBATAN angkat atau ‘drawbridge’ membawa tuah buat Terengganu apabila merangkul Anugerah Ikon Pelancongan Baharu Terbaik pada acara Malaysia Tourism Council Gold Awards 2019 di Selangor, semalam.

Selain itu, aktiviti mencandat sotong yang popular dan sinonim dengan Terengganu dinobatkan sebagai Program Pelancongan Paling Popular, manakala resort percutian, Mimpi Perhentian Terengganu di Pulau Perhentian diangkat sebagai Resort Pulau Terbaik.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, anugerah itu diharap dapat memberi inspirasi kepada semua pihak terutama agensi dan pemain pelancongan dalam menjadikan Terengganu sebagai destinasi pilihan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Beliau berkata, anugerah itu membuktikan usaha kerajaan negeri melalui Tourism Terengganu dengan kerjasama TI Properties dan pemain pelancongan dalam mempromosikan jambatan angkat sebagai mercu tanda utama pelancongan negeri, berhasil.

“Sehingga hari ini, pengunjung berbayar ke jambatan angkat sudah mencecah 27,553 orang sejak tiket masuk dikenakan pada 15 September lalu.

“Pelbagai aktiviti promosi dirangka oleh Tourism Terengganu dan TI Properties untuk 2020 bagi menambah kedatangan pengunjung ke ‘drawbridge’ seperti Pertandingan Kolek Drawbridge, Lumba Perahu Layar dan Pertandingan Layang-Layang Sedunia serta acara tahunan iaitu Tower Run dan Pertandingan Triathlon iaitu berlari, kayuh basikal dan berenang ‘across outer basin’.

“Ini semua tidak termasuk lawatan media dan agensi pelancongan yang sudah dan akan diadakan secara berkala. Semoga dengan pelbagai pengisian termasuk pembukaan restoran di menara jambatan nanti akan dapat menjadi daya penarik pelancong ke Terengganu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, anugerah itu disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Isham Ishak yang mewakili Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Ariffin.

Ariffin memaklumkan, taklimat khas mengenai ikon pelancongan baharu Terengganu itu akan diberikan kepada media luar negara ketika penyertaan Terengganu dalam World Travel Mart di London, iaitu program pelancongan terbesar di dunia pada awal November ini.

Dalam pada itu, aktiviti candat sotong yang berlangsung sekitar April hingga Julai setiap tahun, dimasukkan sebagai aktiviti utama VMY2020 dan akan dilancarkan di Marang pada awal April 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 2:59 PM