BOMBA berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas lori dipandu suaminya merempuh belakang treler di KM 348.8 Lebuhraya Utara Selatan di Tapah.
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


WANITA maut selepas lori dipandu suaminya hilang kawalan dan merempuh treler membawa muatan bahan binaan di Kilometer 348.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Tapah, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi, Zarina Abu Bakar, 40, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di tempat duduk penumpang.

Difahamkan, suami mangsa, Mohamed Jasmani Mohamed Anwar Ali, 40, cedera manakala pemandu treler berusia 30 tahun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati lori dinaiki pasangan suami isteri itu dari Kuala Lumpur menghala ke Pulau Pinang manakala treler dari Klang, juga menghala ke Pulau Pinang.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, dipercayai lori berkenaan hilang kawalan lalu melanggar belakang treler.

“Akibat kemalangan, mangsa yang juga penumpang lori meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Wan Azharuddin berkata, pemandu lori yang juga suami mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.

Katanya, tiada tangkapan dilakukan dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 1:22 PM