SUNGAI benut
Adnan Ibrahim
am@hmetro.com.my


SIMPANG RENGGAM: Penduduk Simpang Renggam yang terpaksa mengharungi pelaksanaan Bekalan Air Berjadual (BAB) oleh Ranhill SAJ sejak lebih sebulan lalu, bersyukur apabila ia ditamatkan bermula hari ini.

Pelaksanaan BAB sejak awal September lalu menjejaskan 149,500 pengguna di sekitar Machap, Simpang Renggam, Layang-Layang dan Pontian Utara.

Penamatan BAB diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse kelmarin.

Penduduk Taman Muhibbah, Yusri Ahmad, 50, berkata, keputusan menamatkan BAB dinantikan-nantikan penduduk Simpang Renggam.

Katanya, sejak pelaksanaan BAB awal September lalu, kehidupan penduduk terjejas kerana perlu memikirkan langkah terbaik menyimpan air sebelum bekalan air disambung semula.

“Kami bersyukur BAB ditamatkan. Penduduk bukannya suka membazir namun mahu bekalan kembali normal untuk menjalankan pelbagai aktiviti harian.

“Kami harap, selepas ini tiada lagi BAB kerana ia amat menyukarkan kehidupan penduduk,” katanya ditemui semalam.

Sementara itu, suri rumah, Nur Khurul Ain Abdul Samat, 34, berharap pihak berkuasa akan mencari jalan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Alhamdulillah, kesabaran penduduk Simpang Renggam akhirnya terbalas apabila BAB ditamatkan walaupun rancangan sebelum ini adalah, ia akan dilaksanakan hingga hujung Oktober ini.

“Bagaimanapun, kami berharap pihak berkuasa akan mencari jalan bagi memastikan masalah bekalan air tidak berulang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 5:31 AM