Gambar Hiasan
Khairul Najib Asarulah Khan
khairul.najib@nstp.com.my


TINDAKAN polis menahan mereka disyaki terbabit dalam kumpulan pengganas menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) adalah wajar.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, apabila polis menggunakan SOSMA sebenarnya memberi peluang kes itu untuk dibicarakan secara terbuka.

Menurutnya, ketika perbicaraan polis perlu kemukakan hujah termasuk dokumen, gambar, video atau apa sahaja bukti yang ada untuk mendakwa mereka yang disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas.

“Dari situ kita dapat melihat dan menilai sejauh mana bukti pembabitan mereka dalam kegiatan keganasan.

“Perlu diketahui, penggunaan SOSMA boleh diibaratkan sebagai undang-undang ‘lembut’ dalam kes keganasan berbanding Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) atau Akta Pencegahan Keganasan 20l5 (POTA) yang dibicarakan secara tertutup,” katanya.

Beliau ditemui selepas Wacana Intelektual Keganasan dan Ancaman Keselamatan Negara: Bersediakah Kita? di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Seri Kembangan, hari ini.

Selain Dr Shamrahayu, program dipengerusikan Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia UPM, Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain membariskan ahli panel seperti Pensyarah Sains Politik dan Pengajian Islam UIAM, Dr Ahmad El-Muhammady; Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia UPM, Prof Madya Dr Amini Amir Abdullah dan Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah Universiti Malaya (UM), Dr Azharudin Mohamed Dali.

Mengulas lanjut, Shamrahayu berkata, jika mereka yang disiasat mengikut POCA atau POTA akan dibicarakan secara tertutup oleh lembaga dilantik mengikut akta berkaitan.

“Ia secara langsung orang awam tidak mengetahui sejauh mana pembabitan mereka dalam kumpulan keganasan itu.

“Jika melalui SOSMA, suspek boleh melantik peguam di mana peguam mereka akan berhujah di mahkamah kelak.

“Jika ini pun kita masih mendesak untuk memberi kelonggaran, ia secara langsung tidak berlaku perbezaan antara jenayah lain dengan jenayah yang terdapat unsur keganasan yang boleh mengancam keselamatan negara,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Negeri Sembilan dan Melaka serta lima lagi individu termasuk guru, ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri dan ketua pegawai eksekutif (CEO) perbadanan anak syarikat kerajaan negeri ditahan kerana disyaki terbabit dengan perjuangan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 4:32 PM