MOHAMMAD Hamiddan (tengah) bersama pegawai menunjukkan sebahagian rokok, arak dan barangan makanan yang diseludup masuk menggunakan kontena. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


CUBAAN sindiket menyeludup arak dan rokok dalam dua kontena serta mengisytiharkan sebagai perabot, gagal apabila barang larangan tidak bercukai itu dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Serbuan dilakukan JKDM di Bay Pemeriksaan Kastam Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) pada 2.20 petang, 15 Oktober lalu selepas pengisytiharan manifes dua kontena itu mencurigakan.

Pemeriksaan yang turut disaksikan wakil syarikat perkapalan itu mendapati, terdapat bungkusan beberapa tilam dan makanan ringan di bahagian hadapan sejurus pintu kontena dibuka.

Bagaimanapun, apabila ia dialihkan anggota menemui pelbagai minuman keras dan rokok disyaki tidak bercukai.

Pengarah Kastam Negeri Johor, Datuk Mohammad Hamiddan Maryani berkata, hasil semakan, dua kontena itu antara kontena yang dibawa kapal dipercayai dari China dan berlabuh di PTP.

“Dalam kontena pertama, terdapat 1,668 karton minuman keras dengan keseluruhannya berjumlah 12,659.76 liter dan 4,800 batang rokok putih.

“Manakala, dalam kontena kedua, terdapat 1,440 karton berjumlah 49,818.24 liter bir serta 3,360 batang rokok putih.

“Semua barangan tidak berkastam itu bernilai RM112,430.12 dan dengan cukai RM357,831.91,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Hamiddan berkata, lelaki tempatan berusia 29 tahun disyaki ejen yang melakukan transaksi untuk pelepasan dengan JKDM atau wakil pengimport/ pengeksport ditahan untuk membantu siasatan.

Katanya, barangan tidak bercukai itu dipercayai dibawa masuk ke negara ini untuk pasaran tempatan dan modus operandi sindiket ialah mencampur pelbagai barangan berpermit atau berduti tinggi dan rendah dalam satu kontena untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967. Dua kontena itu berserta barang rampasan dibawa pulang ke pejabat JKDM Gelang Patah untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 3:05 PM