FOTO HIASAN
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


LATIHAN ketenteraan menggunakan peluru hidup oleh pasukan komando akan diteruskan, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Bagaimanapun katanya, pada masa sama prosedur operasi standard (SOP) mengenainya perlu dilihat semula serta diperbaiki.

“Pasukan komando mesti berani. Komando Malaysia memang terkenal termasuk dalam operasi ketenteraan di Somalia, baru-baru ini dan latihan ketenteraan bersama tentera Amerika Syarikat di Laut Pasifik.

“Jadi, kebolehan tentera kita memang terserlah sama ada di dalam negeri dan antarabangsa,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamad berkata, insiden kematian membabitkan Pegawai Komando 11 Rejimen Gerak Khas Leftenan Kolonel Mohd Zahir Armaya, pada 4 September lalu, adalah insiden terpencil.

Menjawab soalan tambahan dikemukakan Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) mengenai risiko baju kalis peluru diguna pakai anggota ATM ketika latihan ketenteraan, Mohamad berkata, tiada masalah diterima mengenainya.

“Kita tak hadapi masalah mengenai baju kalis peluru. Saya sendiri melihat sesi latihan di Markas 21 GGK Kem Iskandar, Mersing, Johor bagaimana peluru hidup digunakan dalam tembakan jarak dekat.

“Saya lihat bagaimana cekalnya anggota kita ketika dalam operasi,” katanya.

Katanya, beliau ingin menegaskan bahawa siasatan mengenai insiden itu sudah lengkap namun, ia tertakluk kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan selanjutnya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, beliau juga dimaklumkan bahawa pihak ATM sendiri mahu menggunakan peluru hidup dalam latihan dan demonstrasi ketenteraan mereka.

“Ini pandangan pihak ATM termasuk pasukan komando itu sendiri. Pasukan komando memaklumkan mereka tidak hadapi masalah sepanjang latihan menggunakan peluru hidup selama ini.

“Cuma insiden ini kita kesali dan Insya-Allah ia tidak berulang lagi menerusi proses tambah baik yang akan dibuat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 12:36 PM