GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) sudah menjual enam borang pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, setakat ini.

Timbalan Pengarah SPR Johor, Mohammad Zaidad Abdul Samat berkata, enam borang itu dijual dari 8 Oktober hingga semalam.

Beliau berkata, mereka yang membeli borang itu adalah dari parti utama, namun belum ada yang membayar deposit untuk pilihan raya atau pun bahan kempen.

“Pembelian borang pencalonan ini masih boleh dibuat sehinggalah pada hari pencalonan pada 2 November, jam 10 pagi,” kata beliau kepada pemberita selepas meninjau sesi taklimat petugas PRK di Dewan Jubli Intan di Pontian, hari ini.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang ingin bertanding juga diberi ruang untuk membuat semakan mengenai kelayakan mereka bermula 28 hingga 30 Oktober ini bagi memastikan mereka menepati syarat menjadi seorang calon.

Katanya, semakan itu dibuat dengan hadir ke pejabat pegawai pengurus pilihan raya berdekatan.

Mengenai persiapan SPR dalam menghadapi musim banjir terutama dari segi penyediaan bot untuk mengangkut peti undi, Mohammad Zaidad berkata, pihaknya tidak risau mengenai perkara itu kerana pegawai pengurus bagi PRK Tanjung Piai ialah Pegawai Daerah Pontian yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah.

“Jadi kami tidak risau kerana persediaan itu sememangnya berada dalam kawalan beliau,” katanya.

PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November ini berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada 21 September lalu, akibat komplikasi jantung.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai agar menyemak maklumat lokaliti, tempat daerah mengundi, lokasi Dewan Undangan Negeri dan pusat mengundi/saluran secara dalam talian menerusi aplikasi MySPR Daftar.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 12:00 PM