ANAK kambing kembar jantan milik guru agama, Sahabudin Muhamad, 52, yang dilahirkan masing-masing mempunyai satu mata, namun mati tidak lama kemudiannya. FOTO Tular
Syaherah Mustafa
cnews@nstp.com.my


GURU agama terkejut apabila melihat dua anak kambing yang baru dilahirkan hanya mempunyai satu mata di bahagian tengah muka dalam kejadian di Kampung Tok Sangkut di Pasir Mas, Ahad lalu.

Sahabudin Muhamad, 52, berkata, dia menyedari kejadian itu apabila seekor daripada 11 kambingnya melahirkan dua anak di dalam kandang berhampiran rumahnya.

Katanya, bagaimanapun dua anak kambing itu mati lima minit selepas dilahirkan.

“Sebenarnya, dua anak kambing jantan itu dilahirkan seperti biasa cuma air ketuban pecah awal menyebabkan ia lambat dilahirkan dan lemas.


ANAK kambing kembar jantan milik guru agama, Sahabudin Muhamad, 52, yang dilahirkan masing-masing mempunyai satu mata, namun mati tidak lama kemudiannya. FOTO Tular

“Sebaik dilahirkan saya terkejut melihat anak kambing itu mempunyai satu mata sahaja. Saya memelihara kambing sejak dua tahun lalu dan ini pengalaman pertama melihat anak kambing seperti itu.

“Dua anak kambing itu kemudian ditanam berdekatan rumah pada hari sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sejak kisah mengenai kelahiran anak kambingnya itu tular di media sosial ramai pihak membuat pelbagai spekulasi.

“Apa yang terjadi ini adalah aturan Allah SWT, tidak ada kaitan dengan sebarang kejadian mistik dan sebagainya. Saya harap tiada pihak yang menokok tambah mengenai kelahiran kambing ini.

“Ramai yang menghubungi saya bertanyakan hal ini dan saya cuba menerangkan sebaik mungkin supaya tidak berlaku salah faham,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 11:05 AM