ANTARA pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor yang menempatkan mangsa banjir. FOTO ihsan APM
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


SATU daripada lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor yang menempatkan mangsa banjir ditutup, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pulai Gelang Patah ditutup pada 11.55 malam.

“Pada 2.45 petang kelmarin, PPS SK Kampung Pulai merekodkan mangsa banjir dari Kampung Pulai Gelang Patah.

“Seramai 48 keluarga membabitkan 233 mangsa banjir ditempatkan di situ sehingga malam tadi sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya dalam kenyataan 8 pagi tadi.

Katanya, lima PPS di Pontian masih lagi beroperasi, namun bilangan mangsa kini berkurangan membabitkan 435 mangsa dari 100 keluarga.

“Kawasan yang terjejas di Pontian akibat banjir adalah Kampung Parit Basilam, Kampung Maju Jaya, Kampung Paya Embun, Kampung Melayu Batu 30 Bukit Panjang, Kampung Ulu Pulai dan Kampung Jasa Sepakat.

Katanya, semua mereka ditempatkan di lima PPS Madrasah Parit Basilam, Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Haji Adnan, SK Seri Bukit Panjang, Dewan Masjid Kampung Ulu Pulai dan SK Sri Bunian.

Turut dibuka dua PPS di Batu Pahat iaitu PPS SK Sungai Kajang dan Dewan Orang Ramai Tongkang Pecah.

“Seramai 26 orang membabitkan tiga keluarga mangsa ribut di Sungai Kajang dan Bagan, Batu Patah ditempatkan di SK Kajang sejak 4.30 petang semalam.

“Selain itu 10 keluarga membabitkan 39 mangsa banjir di Kompleks Peladang Batu Pahat Tongkang Pecah di tempatkan di Dewan Orang Ramai Tongkang Pecah akibat banjir pada 8.30 malam tadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 10:19 AM