LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Mohd Sabran Md Sani dan Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


KERETA dinaiki lima remaja lelaki yang terbabas sehingga menyebabkan semua maut di Jalan Abu Bakar, Lebuhraya Sultan Iskandar di Johor Bahru, semalam disyaki dipandu laju sebelum melanggar pembahagi jalan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, polis tidak menolak kemungkinan itu berdasarkan hasil pemeriksaan kepada kesan kemalangan berkenaan.

“Kesan daripada impak kemalangan itu mendapati pemandu kereta terbabas melanggar pembahagi jalan kerana disyaki dipandu laju,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, sama ada pemandu kereta berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah, masih belum dapat diputuskan.

“Sampel darah dan air kencing pemandu kereta sudah diambil untuk pemeriksaan toksikologi bagi pengesahan sama ada pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah,” katanya.

Pada masa sama, Shahurinain mengesahkan bahawa pemandu kereta itu memiliki lesen memandu kelas D dan tempoh lesen juga masih sah sehingga 1 Disember 2020.

Sementara itu, katanya, kereta terbabit didaftarkan atas nama ibu kepada dua penumpang kereta yang juga adik beradik.

Kemalangan awal pagi itu mengorbankan pemandu kereta, Lee Boon Hau, 18; dua beradik, Danny Law Yen Pin, 18 dan Kenny Law Chin Shyuan, 16.

Turut terkorban, rakan mereka, Liew Hong Jun, 18 dan Ng Qi En, 18.

Berita berkaitan

Risau bapa jadi kenyataan

[UPDATE] Mangsa kelima meninggal dunia

4 ramaja maut,1 parah [METRO TV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 8:21 AM