MOHIDEEN (kiri) menunjukkan cat berplumbum tinggi yang digunakan pada alat permainan di Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang.
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


PENGGUNAAN cat mengandungi plumbum tinggi dikesan pada peralatan di taman permainan sekali gus mengundang risiko berbahaya kepada kanak-kanak.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dalam kajian dan tinjauannya mendapati 13 daripada 17 peralatan taman permainan mengandungi plumbum melebihi 90 bahagian persejuta (bps) iaitu piawaian peraturan paling ketat di dunia.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, CAP mengesan peralatan bersalut plumbum di taman permainan di sekitar Pulau Pinang dan Kedah menggunakan alat penganalisis kimia, x-ray fluorescence (XRF).

Menurutnya, paras plumbum tinggi dikesan pada peralatan permainan di luar rumah itu membimbangkan dan tidak boleh diterima.

“Selepas beberapa lama, cat akan rosak melalui penggunaan berulang selain pendedahan kepada cahaya matahari dan hujan.

“Ini menyebabkan cat mengelupas dan masuk ke dalam habuk serta tanah. Ia kemudian dihadam kanak-kanak yang gemar memasukkan tangan ke dalam mulut,” katanya di Jalan Masjid Negeri, semalam.

Menurutnya, plumbum adalah bahan toksik yang mudah terkumpul dan mampu menjejaskan beberapa sistem tubuh yang boleh mengundang bahaya kepada kanak-kanak serta wanita hamil.

“Kesan pendedahan kepada plumbum termasuk masalah pembelajaran, enggan bergaul dengan orang lain, penurunan kadar kesuburan serta peningkatan risiko kegagalan ginjal dan masalah kardiovaskular.

Berikutan itu, CAP menggesa kerajaan ambil tindakan segera melarang penjualan dan penggunaan cat berplumbum pada produk yang mendedahkan kanak-kanak kepada pencemaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 6:05 AM