KERJASAMA dengan rakan strategik sebagai usaha meningkatkan persediaan dan kemahiran melalui program 2u2i.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Hanya selangkah lagi Widad University College (WUC) bakal menjadi universiti penuh menjelang 2021.

Seiring dengan perubahan semasa dan perkembangan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0), WUC yang beroperasi di Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang, giat menjalankan kerjasama dengan pelbagai industri tempatan serta antarabangsa.

Pada prinsipnya, WUC adalah institusi pendidikan tinggi negara yang mengamalkan nilai teras akademik, simbol keilmuan dan kesarjanaan serta pembekal sumber manusia pakar atau berkemahiran tinggi.

Sehubungan itu, pada 2020, WUC menawarkan program peringkat doktor falsafah iaitu Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan dan dua program peringkat sarjana iaitu Ijazah Sarjana Sains dalam Pengurusan serta Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan.

Pengambilan program pasca siswazah itu dijangka pada Mac tahun hadapan.

Bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dan pengalaman dalam industri, WUC mengambil beberapa langkah pengkorporatan universiti yang bukan saja bertujuan mendapatkan lebih banyak keuntungan, malah bakal menjadikan sektor pendidikan negara lebih dinamik dengan perkembangannya.

Selaras dengan misi dan visi Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, WUC menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran, persediaan serta kemahiran untuk alam pekerjaan melalui program 2u2i.

Sebanyak 10 memorandum persefahaman (MoU) diadakan sejak Ogos 2018 dengan agensi terbabit iaitu QSR Brands (M) Holdings Berhad, Little Caliph Sdn Bhd, Smart Readers Sdn Bhd, Persatuan Pendidik Awal Kanak-Kanak Negeri Pahang, Sewing World Art Gallery, Wardah Communication Sdn Bhd, Dataprep Holding Berhad, Royal Widad Residence, Grand Darul Makmur Hotel dan Malaysian Institute Of Human Resource Management (MIHRM).

Bagi program 2u2i, 10 program peringkat diploma dan ijazah dikenal pasti dan kini dalam persiapan akhir sebelum pelaksanaan pada awal 2020.

Dalam usaha menjadi universiti swasta era baharu terkemuka dunia khususnya di Asia, WUC turut memperkenalkan program khas pesisir luar kampus dengan mengembangkan beberapa program ke luar negara antaranya di India, Indonesia, Bangladesh, Brunei dan Filipina.

Perundingan kerjasama antara universiti ini sudah pun menuju fasa akhir perbincangan dan dijangkakan pengambilan pertama pada awal tahun hadapan. Ini antara usaha pengantarabangsaan program pada peringkat antarabangsa.

Program Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan, Paramedik dan Kejururawatan bakal dijalankan secara usahasama dengan Ponayyah Ramajayam Institute of Science and Technology University (PRIST) di Chennai dan Kerala Medical College di Kerala, India.

Manakala program kerjasama Ijazah Sarjana Muda Sains Paramedik turut dijalankan di Widyatama University, Bandung dan Esa Unggul University, Jakarta di Indonesia.

Pembukaan kampus pesisir di Mindanao, Filipina melalui Pejabat Pesuruhjaya Kebajikan Wanita Filipina turut mengendalikan program pengasuh dalam kalangan penduduk di Mindanao bagi membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan di Asia Barat.

Tidak terkecuali program Ijazah Sarjana Muda Logistik dan Pengurusan turut dijalankan secara kerjasama dengan Saint Britto’s College di Chennai dan program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat di Agni Interactive di Hyderabad, India.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 6:01 AM