SEBAHAGIAN kanak-kanak dan peserta program pengungsian bangunan terbesar secara serentak di 95 taska seluruh Selangor. FOTO Ruwaida Md Zain
Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my


SERAMAI 3,272 kanak-kanak menyertai pengungsian bangunan terbesar secara serentak di 95 taska seluruh Selangor sekali gus menempah nama di dalam The Malaysian Book of Record (MBR), hari ini.

Program anjuran Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu memerlukan setiap pengusaha taska bersama semua kanak-kanak melakukan aktiviti latihan keselamatan kebakaran secara serentak.

Dekan fakulti berkenaan, Profesor Dr Juliana Johari berkata, penyertaan ‘The Largest Simultaneous Participation of Children in a Fire Drill Event’ itu dilihat dapat memberi pendedahan khusus bagi pengusaha taska berdepan dengan kemungkinan kebakaran di premis masing-masing.

“Program ini berjaya memecahkan rekod MBR 2019 dengan bilangan kanak-kanak taska paling ramai menyertai program latihan keselamatan yang dilaksanakan secara serentak.

“Penganjuran program berkenaan dilihat dapat memberi kesedaran mengenai kepentingan menyelamatkan diri jika berlaku kecemasan kepada warga taska,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program yang dianjurkan universiti itu dengan kerjasama Persatuan Taska Negeri Selangor (PTNS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor di Shah Alam, hari ini.

Program itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Pembangunan UiTM, Prof Madya Dr Mohd Fozi Ali, manakala sijil MBR ditandatangani oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Beliau berkata, program terbabit juga menyediakan platform kepada penuntutnya mengasah bakat yang ada dalam diri setiap mereka.

“Program sebegini dapat menggalakkan penuntut mempraktikkan sebahagian pengalaman ini ketika bekerja nanti,” katanya.

Program itu membabitkan penyertaan 370 penuntut Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Penghuni Kolej Melati.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 12:21 AM