ADUN Sungai Pelek Ronnie Liu
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


“BERSATU amat kesal dengan kenyataan biadab dan tindakan tidak berdisiplin Ahli Dewan Undangan (ADUN) DAP Ronnie Liu yang menyebut Pakatan Harapan (PH) tidak memerlukan parti kami,” tegas Ketua Penerangan BERSATU Dr Radzi Md Jidin.

Menurutnya, tindakan pemimpin DAP itu memperlekehkan kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga tidak boleh diterima.

Katanya, sebagai seorang ahli parti gabungan PH, Ronnie sepatutnya menghormati Dr Mahathir selaku Pengerusi PH dan juga pengerusi parti komponen dalam pakatan itu.

“Justeru, BERSATU menyambut baik kenyataan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke bahawa Ronnie akan dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin DAP kerana tindakannya dianggap sudah mensabotaj parti,” katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini.

Ronnie yang juga ADUN Sungai Pelek sebelum ini menyatakan gabungan PH akan kekal kukuh sebagai kerajaan walaupun tanpa BERSATU.

Beliau turut mendakwa Dr Mahathir sering membuat keputusan bercanggah dengan kepimpinan PH.

Sementara itu, Radzi berkata, BERSATU menyeru seluruh kepimpinan dan ahli parti gabungan PH menekankan soal etika, disiplin dan sikap saling hormat menghormati bagi menjaga keharmonian komponen itu.

Menurutnya, rakyat sudah membuat keputusan memilih PH yang dipimpin oleh Dr Mahathir pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Kepimpinan pakatan di pelbagai peringkat bertanggungjawab mendokong penuh Perdana Menteri dalam usaha beliau untuk memastikan hasrat dan aspirasi rakyat dapat diterjemahkan dengan cemerlang.

“BERSATU mengingatkan seluruh keahliannya dan ahli parti komponen PH untuk menumpukan perhatian kepada kerja membela nasib rakyat yang menjadi asas kemenangan di PRU-14 dan pembentukan Kerajaan Malaysia Baharu,” katanya.

ADUN Jeram Mohd Shaid Rosli pula dalam kenyataan medianya har ini mencabar Ronnie dan kepimpinan tertinggi DAP untuk membawa satu usul untuk membuang BERSATU sebagai komponen Pakatan Harapan (PH) dalam mesyuarat Majlis Presiden.

Beliau percaya Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP itu masih berdendam dengan Dr Mahathir dan masih terbawa-bawa sifat sebenar DAP yang rasis dalam mengeluarkan kenyataan.

Beliau juga bersedia untuk keluar daripada kerajaan PH di Selangor sekiranya ADUN Sungai Pelek itu tidak menghormati kepimpinan tertinggi PH.

"Ini adalah tindakan protes saya kepada DAP yang saya lihat semakin hari semakin kuat bermuka muka dan rasis.

"Saya yakin dan percaya bahawa Dr Mahathir mampu membina satu kerajaan baru tanpa DAP sekali gus memadamkan keegoan parti itu dengan membentuk gabungan kerajaan Melayu Islam.

"Tindakan ini adalah membuktikan bahawa Dr Mahathir masih relevan sebagai Perdana Menteri dan ketika ini rakyat masih memerlukan beliau untuk memulihkan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 11:47 PM